Assalamua'laikum.
Alhamdulillah, ALLAH masih panjangkan usia kita semua. Semoga setiap hela nafas kita berada dalam redhaNYA sentiasa.
Hari ni, nak berkongsi artikel yang insya'ALLAH, bermanfaat untuk kita semua. :D Jemput baca ya.
Ramai dari kita yang telah maklum kelebihan 10
Malam-malam Terakhir Ramadhan. Tetapi adakah ramai dikalangan umat kita yang
maklum kelebihan 10 Hari-hari Pertama dalam bulan Zulhijjah?
Imam al Bukhari
Rahimahullah meriwayatkan daripada Ibnu ‘Abbas r.a bahawa Nabi s.a.w bersabda:
Tiada suatu hari pun, amalan kebaikan padanya mempunyai kelebihan melainkan
pada hari-hari ini – iaitu 10 hari Zulhijjah. Para sahabat baginda bertanya,
‘Tidak juga Jihad pada jalan Allah (mengatasi kelebihan Hari-hari tersebut)?
Ujar Baginda, Tidak juga Jihad di jalan Allah kecuali seorang yang keluar
dengan jiwa raga dan hartanya dan tidak membawa pulang apa-apa pun (kerana
habis disumbangkan untuk memenangkan agama Allah).
Imam Ahmad r.a. dari Ibnu Umar r.a. bahawa Rasulullah s.a.w bersabda, “Tiada
suatu haripun, amalan kebaikan padanya mempunyai kelebihan melainkan pada
hari-hari 10 Zulhijjah ini, oleh kerana itu perbanyakkanlah padanya tahlil (La
Ilaha Illa Allah), takbir (Allah Akbar) dan tahmid (Alhamdu Lillah).
Ibnu Hibban di dam kitab Sahihnya meriwayatkan dari Jabir r.a. bahawa baginda
s.a.w bersabda, “Seutama-utama hari adalah hari Arafah”.
Amalan yang dianjurkan padanya:
1. Menunaikan ibadah haji dan umrah yang merupakan sebaik-baik amalan. Banyak
hadis menyatakan kelebihan ibadah ini di antaranya : Sabda Nabi s.a.w.: “Satu
umrah ke umrah yang lain menghapuskan (dosa) yang dilakukan di antara keduanya
dan haji yang baik (diterima) tiada baginya balasan melainkan syurga”.
2. Berpuasa pada hari-hari tersebut atau sekadar kemampuannya – terutamanya
pada hari Arafah. Tidak dinafikan bahawa puasa adalah di antara amalan yang
terbaik dan ia adalah pilihan Allah seperti yang dinyatakan di dalam sebuah
hadis qudsi, “Puasa itu adalah bagiKu dan Akulah yang membalasinya, dia
meninggalkan keinginan nafsunya, makanan dan minumannya semata-mata keranaKu”.
Imam Muslim meriwayatkan dari Abi Qatadah r.a. bahawa Rasulullah s.a.w
bersabda, Puasa pada hari Arafah, saya mengharap Allah akan menghapuskan (dosa)
setahun yang lalu dan setahun yang mendatang.
3. Takbir (Allahu Akbar) dan berzikir padanya, firman Allah s.w.t yang
bermaksud, (Dan supaya mereka menyebut nama Allah pada beberapa hari yang
termaklum), hari-hari tersebut dijelaskan sebagai 10 hari di bulan Zulhijjah. Sebab
itulah para ulama menyarankan supaya diperbanyakkan berzikir pada hari-hari
tersebut sebagaimana mafhum hadis Ibnu Umar r.a. yang diriwayatkan oleh Imam
Ahmad, di antaranya, “Oleh kerana itu perbanyakkanlah padanya tahlil (La Ilaha
Illa Allah), takbir (Allah Akbar) dan tahmid (Alhamdulillah)”.
4. Bertaubat dan meninggalkan segala maksiat dan dosa, semoga dengan amalan
baik dapat mencapai keampunan dan rahmat Allah. Ini kerana maksiat adalah punca
kepada jauh dan terhindarnya seorang hamba dari rahmat Allah manakala ketaatan
pula adalah punca dekat dan kasihnya Allah kepadanya.
5. Memperbanyakkan amalan soleh terutama amalan sunat tambahan seperti solat
sunat, berjihad, membaca al-Quran, menyeru kepada kebaikan, mencegah
kemungkaran dan seumpamanya kerana semuanya akan digandakan pada hari-hari
tersebut.
Amalan yang dikerjakan ketika itu walaupun kecil tetapi ia lebih disukai oleh
Allah dibandingkan pada hari-hari lain. Begitu juga amalan yang besar seperti
berjihad di jalan Allah yang dikategorikan di antara amalan yang terbaik,
tidaklah mendapat kehebatan pahala pada hari-hari itu melainkan apabila kuda
(kenderaan) yang ditungganginya terbunuh (binasa) dan darahnya keluar (dia
cedera atau mati syahid).
6. Disyariatkan bertakbir pada beberapa hari yang mulia itu pada waktu siang
atau malam terutama selepas menunaikan fardu solat lima waktu yang dikerjakan
secara berjemaah.
Bagi mereka yang tidak menunaikan ibadah haji, takbir bermula dari waktu subuh
hari Arafah (9 Zulhijjah) dan bagi yang menunaikannya takbir bermula pada waktu
Zuhur hari raya haji (10 Zulhijjah), semuanya berakhir sehingga waktu Asar pada
hari ke-13 Zulhijjah.
7. Disyariatkan amalan korban (menyembelih haiwan ternakan) pada hari raya haji
dan hari-hari Tasyriq (11, 12 dan 13 Zulhijjah). Ia merupakan sunah Nabi
Ibrahim a.s. setelah Allah s.w.t mengujinya dengan perintah menyembelih anaknya
Ismail tetapi ditebus ujian itu dengan digantikan seekor haiwan untuk
disembelih.
8. Imam Muslim
meriwayatkan dari Ummu Salamah r.a bahawa Nabi s.a.w bersabda, Apabila kamu
telah melihat anak bulan Zulhijjah dan ada di kalangan kamu yang ingin
berkorban (sembelih haiwan ternakan), hendaklah dia menahan dirinya dari (memotong)
rambut dan kukunya, dan di dalam riwayat lain : “Maka janganlah dia memotong
rambut dan kukunya sehinggalah dia berkorban.
Perintah (sunat) ini berkemungkinan ada persamaan dengan hukum bagi mereka yang
membawa haiwan ternakan (ketika mengerjakan haji) dari kampung mereka yang
telah dijelaskan oleh Allah, maksudnya, (Dan janganlah kamu mencukur rambut
kamu sehinggalah haiwan ternakan (yang dibawa untuk dihadiahkan dagingnya
kepada penduduk Mekah) itu sampai ke tempatnya).
Larangan (memotong rambut dan kuku) ini pada zahirnya adalah khusus kepada
pemunya haiwan korban tersebut sahaja dan tidak termasuk isteri dan
anak-anaknya melainkan mereka juga mempunyai haiwan seumpamanya, dan tidak
mengapa jika yang berkenaan membasuh dan menggosok kepalanya kemudian terjatuh
beberapa helai rambutnya.
9. Setiap muslim hendaklah berusaha menunaikan solat hari raya secara
berjemaah, mendengar khutbah oleh imam selepas solat tersebut supaya mendapat
pengajaran daripadanya.
Sepatutnyalah kita mengetahui hikmat di sebalik perayaan ini. Ia merupakan hari
menyatakan kesyukuran dengan melakukan kebaikan. Janganlah pula dilakukan
padanya perkara yang mendatangkan kemurkaan Allah dengan mengerjakan maksiat,
kesombongan, pertengkaran dan sebagainya yang boleh menjadi sebab kepada
terhapusnya amalan kebaikan yang dikerjakannya sebelum itu.
10. Penuhilah hari-hari berkenaan dengan ketaatan kepada Allah, berzikir,
bersyukur, menunaikan perintah-Nya, menjauhi larangan-Nya, mendekatkan diri
kepada-Nya semoga mendapat rahmat dan keampunan-Nya.
(Petikan dari blog Ust
Halim abdullah)
* NISA' - PENGHUBUNG GENERASI MUDA *