Pages

Wednesday, December 9, 2009

Mari Melabur Dengan….


Assalamualaikum...

Memberi sememangnya makruf lebih sukar daripada menerima. Memberi, punya nilai pengorbanan di situ. Korban akan menyebabkan kita kekurangan sesuatu. Contoh ada dua orang, terkorban seorang, maka tinggal satu. Begitulah duit, kita ada RM1000, kita beri pada orang lain RM500, maka kita hanya tinggal RM500 dan bukan lagi RM1000.

Manusia, apabila memberi, dia akan teragak-agak kerana memikirkan kekurangan yang akan dia hadapi. Kekurangan ini, membuatkan manusia takut hendak memberi.Hal ini kerana, dia menganggap bahawa memberi sesuatu, sama dengan merugikan diri sendiri.

Berbanding dengan menerima yang hakikatnya dan kesannya berlawanan daripada memberi(maksudnya mendapat keuntungan), manusia tidak senang dan tidak ringan untuk memberi. Sebab itu, manusia lebih suka diberi dari dia yang memberi.
Itu realiti, di mana-mana sahaja, setiap tempat dan masa.

Namun izinkan saya sebagai penulis artikel ini untuk mengajak anda, pembaca artikel sama-sama meneliti hal ini. Apakah benar memberikan sesuatu itu merupakan satu kerugian?

Pelaburan tanpa rugi

Tahukah anda, sebenarnya sedekah itu satu pelaburan? Tapi bezanya sedekah dengan pelaburan-pelaburan yang kita lihat dalam dunia sekarang ini, adalah sedekah merupakan pelaburan yang tidak akan rugi.

Saya ulang, tidak akan rugi.

Kenapa saya berani kata begitu? Hal ini kerana, TUAN yang memegang pelaburan kita nanti itu, adalah “Yang Tak Akan Rugi Walau Seluruh Dunia Berusaha Merugikan-Nya”. TUAN yang memegang pelaburan kita nanti, adalah “Yang Berkuasa Atas Segala-galanya”. Itu sebabnya, saya amat yakin, pelaburan kita dalam line sedekah ini, adalah pelaburan tanpa kerugian.

Menarik?

Sedekah memang satu pelaburan

Kenapa pelaburan? Baik. Bila pelaburan, pastinya ada untung rugi. Saya dah jelaskan, dalam kes ini(sedekah), kita memang tidak akan rugi. Jadi, pelaburan kita ini sekarang hanya ada untung sahaja. Kenapa saya kata sedekah ini satu pelaburan? Kerana pelaburan adalah sesuatu yang kita tak dapat hasilnya pada hari kita melabur. Hasilnya akan kita dapati pada akhir kitaran proses perkara yang kita laburkan kepadanya.

Andai kita laburkan duit kita pada sebuah kumpulan bola. Untung hanya akan kita dapat bila genap setahun. Itupun kalau pasukan bola itu mencapai prestasi yang baik pada tahun itu. Jika tidak, bila lengkap setahun, kerugian pula akan datang pada kita.

Begitu juga konsep sedekah. Ia konsep pelaburan. Kita tidak akan dapat untung dia pada masa kita memberi, melabur itu. Dan lebih menguji kita, pelaburan sedekah ini tidak mempunyai waktu tetap macam setahun, dua tahun, untuk kita mencapai keuntungannya semula. Oh, dia ada waktu tetap yang gerenti kita akan dapat untungnya. Iaitu di akhirat sana.

Kita melabur sedekah, kita tidak berurusan dengan penerima sedekah kita sebenarnya. Tetapi kita sedang berurusan dengan TUAN kepada Penerima Sedekah itu sebenarnya. Jadi, untungnya akan diberikan oleh TUAN penerima sedekah tadi, bukan si penerima sedekah.
Kiranya, kita melabur dengan DIA, kita berniaga dengan DIA.

Ini satu pelaburan. Pelaburan kita dengan Allah SWT.

“Wahai orang-orang yang beriman! Mahukah Aku tunjukkan sesuatu perniagaan yang boleh menyelamatkan kamu dari azab seksa yang tidak terperi sakitnya? Iaitu, kamu beriman kepada Allah dan rasulNya, serta kamu berjuang membela dan menegakkan ugama Allah dengan harta benda dan diri kamu; yang demikian itulah yang lebih baik bagi kamu, jika kamu hendak mengetahui (hakikat yang sebenarnya).” Surah As-Saff ayat 10-11.

Keuntungan di dunia dan akhirat

Bila cakap fasal bisnes, orang lebih suka cakap fasal untung daripada rugi. Memandangkan pelaburan yang saya sedang katakan ini tiada kerugian, hanya ada untung, maka saya akan bercakap dari aspek keuntungan pelaburan ini sahaja.

Pelaburan ini, ada dua kemungkinan cara untungnya.

Pertama: Untung di dunia dan di akhirat.

Kedua: Untung di akhirat sahaja.

Berkenaan mana satu yang kita dapat, itu urusan TUAN yang kita laburkan wang kita kepada-Nya. DIA tidak sama dengan pengrus-pengurus perniagaan yang lain. DIA ada metod-Nya sendiri yang tidak dikongsikan dengan orang lain.

Namun, saya di sini meyakinkan anda bahawa, tidak kira anda mendapat kemungkinan yang mana satu pun, kedua-duanya sama hasilnya: UNTUNG. Dan tiadalah yang pertama itu lebih daripada yang kedua, dan tidak pula yang kedua itu lebih dari yang pertama. Sama keuntungannya. Dan DIA tahu mana satu kemungkinan untung yang lebih baik untuk kita. Itu kelebihan berlabur dengan DIA.

Antara contoh mendapat untung di dunia dan di akhirat adalah: Hidup di lapangkan, rezeki menjadi mencurah-curah, mendapat balasan dan penghargaan daripada manusia lain dan sebagainya. Di akhirat, semestinya dia dibalas lagi dengan syurga dan disisihkan dari neraka.
Tapi ada juga yang dapat untungnya di akhirat sahaja. Dia Allah berikan hidupnya terus sempit, tidak dihargai walaupun dia rajin memberi dan membantu orang lain. Orang ini, Allah ada sebab untuk mengujinya. Tetapi, Allah bukan zalim. Tingkatannya nanti di akhirat, pastinya tinggi jika dia mampu melalui hidupnya dengan keimanan kepada Allah SWT. Kenapa saya yakin Allah akan balas orang ini lebih di akhirat?

Sebab Allah itu tidak zalim, dan Dia berjanji akan membalas semua kebaikan kita.

“Barangsiapa membawa amal yang baik, maka baginya (pahala) sepuluh kali lipat amalnya.” (Al-An’am: 160)

“Perumpamaan (nafkah yang dikeluarkan oleh) orang-orang yang menaf kahkan hartanya di jalan Allah adalah serupa dengan sebutir benih yang menumbuhkan tujuh bulir, pada tiap-tiap bulir seratus biji. Allah melipat gandakan (ganjaran) bagi siapa yang Dia kehendaki. Dan Allah Mahaluas (kurnia-nya) lagi Maha Mengetahui. “ (Al-Baqarah: 261)

Tapi saya suka nak nyatakan di sini, kemungkinan dua itu adalah sangat-sangat jarang berlaku. Biasanya, sesiapa yang meringankan tangannya untuk memberi, Allah pasti akan melapangkan hidupnya dari arah yang tidak disangka-sangka. Cuma selalunya, kita perasan atau tidak perasan sahaja.

Pelaburan bersifat berterusan

Ada juga pelaburan yang bersifat kekal dalam line ni. Namanya pelaburan jariah. Ya, macam bina masjid, tolong sekolah yang memproses peribadi yang Allah redha, bina rumah anak yatim, dan apa-apa sahaja sumbangan kita terhadap perkara berbentuk bertahan dalam jangka masa panjang dan boleh digunakan dari masa ke semasa.

Imam Muslim, Tirmizi, Nasai, Abu Dawud, Ahmad dan Al-Darimi telah meriwayatkan daripada Abi Hurairah r.a. bahawa Nabi s.a.w. bersabda:

Apabila manusia mati, terputuslah daripadanya segala amalannya, kecuali tiga perkara: sedekah jariyah, ilmu yang dimanfaatkan, atau anak yang soleh yang berdo’a untuknya”.

Pelaburan ini, akan terus memberi untung pada kita walau kita mati. Bank pelaburan kita tidak akan terhenti, akan terus bertambah dan bertambah walaupun masa beramal telah habis. Selagi masjid yang kita bina, sekolah yang kita sumbang tu masih terus berjalan, maka selagi itu kita akan mendapat untungnya.

Menarik tak? Mati pun still dapat untung lagi.

Balasannya berganda-ganda, dan gandaanya fleksibel

Bercakap berkenaan untung dalam pelaburan ini, satu lagi yang menarik berkenaannya adalah nilai keuntungannya. Setiap kebaikan yang kita lakukan, sumbangan duit yang kita beri, akan diberikan semula dalam bentuk keuntungan yang berlipat-lipat.

Dari IbnuAbbas RadhiyallahuAnhu,dia meriwayatkan dari Rasulullah Shallallahu Alahi wa Sallam, beliau meriwayatkan wahyu dari Allah Subhanahu wa Ta’ala, Dia berfirman,

“Sesungguhnya Allah menetapkan kebaikan-kebaikan dan keburukan-keburukan kemudian menerang­kannya. Barangsiapa berhasrat mengerjakan kebaikan namun tidak jadi mengerjakannya, Allah mencatat di sisi-Nya satu kebaikan seutuhnya. Jika ia berhasrat mengerjakan kebaikan lalu benar-benar mengerjakannya, Allah mencatat nilai kebaikan itu sepuluh kali sampai tujuh ratus kali lipat, bahkan berlipatganda lagi. Dan barangsiapa berhasrat mengerjakan keburukan namun tidak jadi mengerjakannya, Allah mencatat di sisi-Nya satu kebaikan seutuhnya. jika ia berhasrat mengerjakan keburukan lalu benar-benar mengerjakannya, Allah hanya mencatat satu keburukan untuknya.” (Riwayat Bukhari dan Muslim dalam kedua kitab Shahihnya dengan lafazh seperti ini)

Gandaannya paling kurang adalah 10 dan paling banyak adalah 700. Menarik tak?
Di sini saya suka nyatakan bahawa, kalau kita gandakan 2 dengan 2 maka jawapannya empat, hukum matematik ini di sisi Allah pastinya adalah berlainan. Untuk Allah, tidak semestinya ganda 10 tu bermaksud RM1 dibayar RM10. Allah ada nilaian-Nya yang tidak mampu dinilai oleh manusia biasa.

Kita lihat sendiri bagaimana Allah melihat masa, berbanding manusia melihat masa. Kita nampak akhirat tu jauh, lama lagi, tetapi Allah tetap menyatakan akhirat itu dekat dan hampir. Dari zaman Rasulullah hingga zaman kita, 1400 tahun telah berlalu tetapi kiamat belum berlaku lagi. Namun dari zaman Rasulullah lagi, Allah dah kata akhirat itu sangat dekat. Jadi, di sisi Allah, 1400 tahun itu tidak lama.

Jadi, apatah lagi dalam hal gandaan. Di sisi Allah, ia menjadi fleksibel. Mustahil RM1000000 boleh disamakan dengan syurga yang tiada mata pernah melihat, tiada fikiran pernah terfikir, tiada hati pernah terlintas akan bayangnya yang sebenar? Jadi nampak tak bagaimana besarnya balasan yang Allah nak sediakan ni?

Dan macam saya kata, pelaburan dalam line ini tiada kerugian. Yang ada hanya untung. Maka anda pasti untung. Kadar untung, bergantung kepada kualiti pemberian anda. Sebab itu, diriwayatkan bahawa, Saidatina Aisyah RH, sebelum memberikan sedekah, dia akan membasuh dahulu duitnya dan mewangikannya. Bila ditanya, dia menjawab:

“Duit ini akan sampai pada Allah dahulu, sebelum sampai pada tangan si penerima”

Ya.. Kualiti pemberian, pelaburan kita juga penting.

Kualiti pemberian, pelaburan

Macam mana nak mengkualitikan pemberian dan pelaburan kita agar gandaan yang Allah balas nanti berganda-ganda lipatnya?

Pertamanya adalah niat. Bersihkan niat kita ketika memberi. Kenapa kita memberi? Semestinya kerana Allah, hendak membantu orang yang menaikkan agam Allah, hendak menambah amalan kita, hendak Allah redha dengan kita.

Keduanya adalah punca pemberian kita. Jangan kita berikan duit yang hasilnya dari sumber yang haram. Duit yang kita curi, kemudian sedekah kat orang, tak boleh macam itu. Kualitinya akan menurun, dan kemungkinan ditolak oleh Allah SWT.

Ketiganya adalah memberikan yang baik-baik sahaja. Kalau nak sedekah, jangan bagi duit koyak. Kalau nak menyumbang, jangan sumbang barang rosak. Kalau nak menyumbang kudrat tenaga, jangan curi tulang.

Keempatnya adalah bersedekah atas jalan Allah, bukan jalan lain. Ini penting juga. Jangan pergi sedekah pada kasino untuk mereka luaskan perniagaan mereka. Jangan pergi sedekah pada rumah pelacur agar mereka dapat gaji lebih ramai perempuan. Menyumbanglah pada jalan Allah, pada orang yang berjuang atas jalan Allah, pada tempat-tempat yang memproses manusia untuk membina peribadi yang Allah redha.

Cukup empat ini kita selesaikan tuntutannya, maka pemberian kita adalah pemberian, pelaburanm yang sangat sangat berkualiti.

Penutup: Memberilah, melaburlah, jangan tunggu lagi
Maka, apa yang anda tunggu-tunggukan? Jalan pelaburan telah saya beri, pelaburan ini pula terbukti tidak merugi, malah gandaan keuntungan pada pelaburan ini tidak pula akan didapati dalam pelaburan lain. Keuntungannya sangat-sangat besar.
Jangan teragak-agak menghulurkan derma, Lebih-lebih lagi kepada pembaca artikel ini yang gajinya amat banyak. Sumbangkan wang anda, agar wang anda muncul di akhirat membantu anda. Jangan habiskan semuanya di lubang tandas, di tempat pembuangan sampah, di tempat perlupusan harta dan sebagainya.

“Mana ada duit dik, gaji RM12,000 pun tak cukup zaman sekarang. Ada professor pun yang hutang keliling pinggang.”
Ya kah bang? Tahu kenapa tak cukup bang? Sebab gaji abang RM12,000 sebulan, tapi abang hidup dengan bajet RM20,000 sebulan. Mana tak hidup dalam lautan hutang? Sebulan hutangnya RM8,000.

Jadi, apa kata gaji RM20,000, kita hidup la dengan bajet RM5,000 ke, barulah ada ruang untuk membuat pelaburan. Bukan rugi pun pelaburan ni bang. Tak rugi. Saya dah kata dah kat atas ni. Ni kekal sampai akhirat bang. Pelaburan abang yang mana kekal sampai akhirat macam pelaburan atas ni?

Semua di dunia ini akan hancur pembaca. Maka apalah sangat kita memberikan yang akan hancur ini, kepada yang memerlukan yang akan hancur ini? Kita dah ada bahagian kita dalam yang hancur ini, dan sebab ia akan hancur, kita tak perlu banyak-banyak. Kita perlu sekadar yang perlu sahaja.

Maka, apa lagi kita tunggu.

Memberilah, melaburlah, apa sahaja, walau sedikit, pastinya ia merupakan satu perniagaan yang amat baik.

Tiada rugi. Yang ada hanya untung

Reactions:

0 comments:

Post a Comment

Nisa' Connecting Youth.. =)