Pages

Wednesday, June 23, 2010

Penawar Duka Nestapa

Oleh:Maznah Daud

Sejak lebih 1400 tahun yang lalu Rasulullah sallallahu alaihi wasallam mengajar kita doa yang bermaksud:


“Ya Allah, aku berlindung dengan-Mu daripada kerisauan dan kesedihan, aku berlindung dengan-Mu daripada sifat pengecut dan kedekut, dan aku berlindung dengan-Mu daripada cengkaman hutang dan penindasan manusia”.
Maka kita membacanya sebagai ibadah, mengharap pahala kerana mengamalkan sunnah. Hari ini baru kita ketahui rupa-rupanya kerisauan dan kesedihan merupakan penyakit yang berbahaya kepada manusia.
Kerisauan dan kesedihan akibat masalah yang melanda boleh menyebabkan berlakunya kemurungan. Statistik kemurungan seperti yang didedahkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengkategorikan depresi sebagai penyakit keempat serius melumpuhkan jiwa seseorang.



WHO juga menganggarkan kadar kematian (bunuh diri) akibat kemurungan di rantau Asia adalah lebih tinggi dengan nisbah kemurungan antara lelaki dan perempuan adalah satu nisbah dua. Kajian di Malaysia pula mendedahkan kira-kira sembilan peratus rakyat negara ini mengalami kemurungan tahap serius.Dikatakan bahawa, baik wanita sudah berumah tangga, bujang, remaja mahupun kanak-kanak tidak terlepas daripada menanggung masalah yang akhirnya boleh menyebabkan kemurungan. Sekiranya tidak diatasi dengan baik, boleh memberi kesan buruk kepada diri, orang sekeliling dan masa depan mereka.



Dalam kitab suci al-Quran, Allah subhanahu wataala mendedahkan tabiat jiwa manusia yang sentiasa berada dalam keadaan keluh kesah dan tidak tetap pendirian. Firman Allah bermaksud:
“Sesungguhnya manusia itu dijadikan bertabiat resah gelisah (lagi bakhil kedekut). Apabila dia ditimpa kesusahan, dia sangat resah gelisah. Dan apabila dia beroleh kesenangan, dia sangat bakhil kedekut.”
(Al-Ma’arij, 70:19-21)



Namun setiap penyakit ada ubatnya. Demikian juga penyakit risau, sedih dan murung ini.
Tanpa menidakkan kaedah rawatan dan terapi yang disarankan oleh pakar-pakar zaman sekarang, al-Quran dan as-Sunnah sebenarnya mengandungi pelbagai saranan dan bimbingan yang sangat penting. Jika dihayati sepenuhnya tidak mungkin kerisauan akan bertandang, apalagi melekat sehingga menjadi racun dan menanah dalam jiwa.



Selepas menceritakan keadaan manusia yang sering diburu keresahan, Allah subhanahu wataala terus menyuntik penawarnya yang paling mujarab. Dia berfirman (maksudnya):



“Kecuali orang-orang yang mengerjakan sembahyang, iaitu mereka yang tetap mengerjakan sembahyangnya, dan mereka (yang menentukan bahagian) pada harta-hartanya, menjadi hak yang termaklum bagi orang miskin yang meminta dan orang miskin yang menahan diri (daripada meminta), dan mereka yang percayakan hari pembalasan (dengan mengerjakan amal-amal yang soleh sebagai buktinya).
(Al-Ma’arij, 70: 22-26)



Ayat di atas menjelaskan tiga perkara yang perlu diamalkan untuk mengelak daripada perasaan resah gelisah dan dapat membina keperibadian yang kuat, mampu menghadapi segala dugaan serta cabaran, baik pada kala susah ataupun senang.



Tiga perkara itu ialah sentiasa mendirikan solat, berjiwa pemurah serta rajin bersedekah dan yakin kepada Hari Pembalasan.



Kadang-kadang perasaan resah dan tidak tenang timbul kerana bimbangkan sesuatu yang tidak pasti atau takut kehilangan sesuatu yang amat disayangi.
Rasulullah sallallahu alaihi wasallam menegaskan bahawa kebimbangan serta kerisauan kita tidak akan mengubah apa yang Allah subhanahu wataala telah tentukan. Maka berserah kepada-Nya dengan sentiasa berdoa dan berusaha dengan penuh yakin akan memberikan kita ketenangan dan kebahagiaan yang tiada tolok bandingnya.



Antara perkara yang disebut oleh baginda sebagai jaminan keselamatan untuk kita ialah:



Pertama: Solat Subuh
Rasulullah sallallahu alaihi wasallam bersabda (maksudnya):
“Sesiapa yang menunaikan solat subuh, maka dia berada di bawah jaminan Allah serta peliharaan-Nya. Maka berhati-hatilah wahai anak Adam! Jangan biarkan dirimu dituntut oleh Allah kerana mengganggu orang yang berada di bawah kawalan-Nya”.
(Riwayat Muslim daripada Jundab bin Sufyan)



Lihatlah betapa aman-Nya kita berada di bawah kawalan Yang Maha Perkasa apabila kita menunaikan solat subuh. Maka apa yang kita bimbangkan? Sesiapa yang cuba menzalimi kita, maka Allah pasti akan membalasnya!



Kedua: Membaca Ayat al-Kursi (ayat ke 255 daripada surah al-Baqarah).
Rasulullah sallallahu alaihi wasallam bersabda (maksudnya):
“Sesiapa yang membaca ayat al-Kursi setiap kali selepas solat fardu, tidak ada yang menghalangnya daripada masuk syurga kecuali mati”.
(Sahih al-Jami’ daripada Abu Umamah al-Bahiliy)
Maha Suci Allah! Kebanyakan orang takut mati kerana tidak pasti apa yang bakal ditempuhi di alam sana. Hadis ini memberi jaminan bahawa dengan membaca ayat al-Kursi setiap kali selepas solat fardu, maka syurga menanti di sebalik tabir kematian. Justeru, perasaan takut mati bertukar menjadi rindu.



Ketiga: Penghulu istighfar
Penghulu istighfar adalah:



Baginda bersabda (maksudnya):
“Sesiapa yang memohon ampun dengan membaca penghulu istighfar ini (Ya Allah, Engkau adalah Tuhanku, tidak ada Tuhan selain Engkau. Engkau yang menciptakan aku dan aku adalah hamba-Mu. Aku berada dalam perjanjian dengan-Mu, ikrar kepada-Mu (yang akan aku laksanakan dengan) segala kemampuanku, dan aku berlindung dengan-Mu daripada kejahatan apa-apa yang telah aku lakukan. Aku mengakui (dengan sebenar-benarnya) nikmat-Mu kepadaku, dan aku mengakui dosa-dosaku. Maka ampunilah aku kerana tidak ada yang akan mengampuni dosa-dosa kecuali Engkau) pada waktu siang dengan penuh yakin, lalu dia mati pada siang hari itu sebelum menjelang waktu petang, maka dia daripada ahli syurga. Dan sesiapa yang memohon ampun dengan membaca penghulu istighfar ini pada waktu malam, lalu dia mati pada malam itu sebelum menjelang waktu subuh, maka dia daripada ahli syurga”.
(Riwayat al-Bukhari daripada Syaddad bin Aus)


Jadi apa lagi yang dibimbangkan? Allah telah memberi jaminan. Jaminan siapakah yang lebih kita yakini selain daripada jaminan Dia, Pemilik serta Penguasa segala-galanya?

Source:http://www.malaysiaharmoni.com/




0 comments:

Post a Comment

Nisa' Connecting Youth.. =)