***************************************************************
Dah balik dari kampung? Saya tak tahu Malaysia cuti raya haji sampai bila. Jordan, cuti akan berlangsung sehingga 30 November 2009. 1 Disember, bermula lah semula musim pengajian semester satu.
Baru-baru ini, saya dijemput untuk memberikan ceramah berkenaan Pengorbanan oleh Badan Kebajikan Anak Negeri Johor Jordan. Saya sebenarnya, tak berapa suka ceramah. Saya suka perkongsian. Sebab saya jenis kaki sembang. Jadi sesi ceramah yang diberikan kepada saya baru-baru ini telah saya tukar dalam bentu perkongsian pendapat dan pandangan.
Saya berbicara berkenaan korban, dan apa yang saya nampak berkenaan tuntutan Allah SWT untuk kaum muslimin merayakan Aidil Adha setahun sekali.
Sejarah
Semua orang, kalau menyorot kembali sejarah hari raya Aidil Adha, ia sebenarnya berkait rapat dengan satu keluarga. Yakni keluarga Ibrahim AS. Pada saya, walaupun sejarah ini diulang-ulang oleh semua orang saban tahun sehingga orang muak, saya merasakan perlunya sejarah ini diulang untuk mengingatkan kembali berkenaan pengorbanan.
Tapi, untuk saya, saya suka mengulang sejarah itu dari perspektif yang saya pelajari sendiri.
Kita melihat bahawa Nabi Ibrahim telah meninggalkan anaknya Ismail dan isterinya Siti Hajar di sebuah wadi gersang bernama Bakkah/Makkah. Dia yang sebenarnya amat sayangkan isteri dan anaknya, terpaksa meninggalkan mereka di tanah gersang itu atas perintah Allah SWT.
Itu sendiri, satu pengorbanan.
Kemudian, Nabi Ibrahim pulang ke tempatnya, yakni Palestin. Kalau anda rajin dan membuka peta, anda dapat melihat betapa jauhnya jarak Palestin dengan Makkah. Hatta saya sendiri yang pernah bermusafir dari Jordan ke Madinah, memakan masa 24 jam perjalanan dengan menaiki bas. Itu Madinah, Makkah lebih bawah lagi. Bagaimana pula zaman dahulu, yang mungkin kenderaan terpantas hanyalah unta?
Jauh jarak mereka terpisah. Dan Nabi Ibrahim tidak bersama Nabi Ismail melihat tumbesarannya.
Satu hari, Nabi Ibrahim bermimpi menyembelih anaknya. Awalnya, dia menyangka itu mainan syaitan. Namun selepas mimpi itu berulang beberapa kali, maka dia yakin bahawa itu daripada Allah SWT. Isyarat bahawa itu adalah satu perintah.
Maka bergeraklah Nabi Ibrahim merentas sahara untuk menunaikan perintah Allah SWT, menyembelih anaknya.
Untuk merentas sahara, menempuh perjalanan berhari-hari, hanya untuk menjunjung satu perintah yang mengorbankan ahli keluarganya yang amat jarang dijumpai lagi disayangi, itu juga merupakan satu pengorbanan.
Ketika dia bertemu dengan Nabi Ismail yang ketika itu sudah membesar, dia bertanya kepada anaknya itu akan mimpinya. Jawapan Nabi Ismail adalah:
“Wahai ayahku, jika itu apa yang Allah suruh, maka laksanakanlah tanpa ragu-ragu”
Nabi Ismail menerima dengan lapang dada, malah menggesa ayahnya agar tidak ragu-ragu langsung dengan perintah Allah SWT. Siti Hajar pula, tidak membentak Nabi Ibrahim dengan menyatakan suaminya itu gila, tidak berhati perut dan sebagainya. Malah Siti Hajar melepaskan Nabi Ismail dengan rela hati. Sedangkan, dialah yang membesarkan, menyusukan, Nabi Ismail As.
Di situ, satu pengorbanan kita lihat di sisi Siti Hajar.
Maka Nabi Ibrahim tambah membulat tekad, membawa anaknya ke tempat penyembelihan. Diriwayatkan bahawa Nabi Ismail siap menyuruh bapanya itu mengikatnya agar dia tidak menyukarkan pekerjaan bapanya.
Ini juga, satu pengorbanan di sisi Nabi Ismail. Rela hati, menjunjung perintah Allah SWT.
Nabi Ibrahim melaksanakan tugasan itu dengan teguh hati. Pisau yang tajam dileretkan pada leher anaknya. Yang ajaibnya, pisau itu tidak lut. Diasahnya semula lalu dilakukan sekali lagi. Juga tidak lut. Begitulah berkali-kali, hingga Jibril As menurunkan Qibasy dari langit menggantikan Ismail.
Keteguhan Nabi Ibrahim, tindakannya mengasah dan mencuba berulang kali, satu lagi bentuk pengorbanan.
Dan keluarga Ibrahim seluruhnya, telah membuktikan keimanan mereka dengan berjaya melalui ujian maha hebat ini.
“Apakah manusia itu mengira, Kami membiarkan mereka berkata: Kami telah beriman, sedangkan mereka itu belum diuji?” Surah Al-Ankabut ayat 2.
Yang kita perlu perhatikan
Saya suka bertanya kepada diri saya, apakah yang membuatkan Nabi Ibrahim teguh merentas sahara semata-mata untuk menyembelih anaknya? Saya juga tertanya-tanya, apakah yang membuatkan Nabi Ismail amat tenang membiarkan dirinya disembelih oleh bapanya, sedangkan bapanya tidak membesarkannya? Dan atas sebab apakah Siti Hajar, melepaskan Nabi Ismail yang dibesarkannya itu dengan rela hati? Saya juga hairan, apakah yang membuatkan Nabi Ibrahim mencuba berkali-kali dan tidak pula menjadikan pisau yang tidak lut itu sebagai alasan untuk dia tidak meneruskan tindakannya?
Akhirnya, saya berjumpa dengan satu jawapan yang solid. Dan jawapan itu membuka mata saya berkenaan erti pengorbanan yang sebenar.
Semua kerelaan, kesungguhan, keteguhan dan ketabahan yang keluarga Nabi Ibrahim tunjukkan, puncanya adalah satu sahaja.
Kerana arahan itu adalah daripada Allah SWT.
Tiada lain. Tidak kerana perkara lain.
Hanya dengan sebab – itu adalah perintah Allah – mereka sanggup mengorbankan apa sahaja yang mereka sayangi.
Dari mana datangnya kekuatan mereka untuk berkorban hanya semata-mata kerana itu perintah Allah?
Iman.
Keimanan mereka, keyakinan mereka bahawa Allah SWT tidak akan memerintahkan sesuatu itu dengan sia-sia, kepercayaan mereka bahawa Allah SWT itu tidak zalim, kethiqahan mereka bahawa Allah SWT itu Yang Maha Bijaksana, sangka baik mereka bahawa Allah SWT itu Maha Mengetahui, semua itu membuatkan mereka bergerak dengan teguh dan tabah, menjunjung perintah Allah SWT tanpa ragu-ragu, tanpa alasan, dan dengan bersungguh-sungguh.
Ternyata, keluarga Ibrahim As dimuliakan oleh Allah SWT atas keimanan mereka ini, sehingga mereka sanggup melakukan pelbagai pengorbanan. Maka lihatlah betapa Allah muliakan keluarga yang berkorban ini dengan kemuliaan yang tidak terhingga. Lahir daripada mereka Muhammad SAW, penutup segala nabi dan rasul, dijadikan pula pengorbanan mereka sebagai hari yang dirayakan dan wajib diingati, beberapa peristiwa dalam kehidupan mereka dijadikan manasik haji seperti sa’ie dan melontar jamrah.
Inilah sebenarnya Allah SWT hendak tunjukkan kepada kita.
Allah hendak tunjuk, betapa Dia itu tidak menzalimi hamba-hamba-Nya, dan Dia Maha Mengotakan Janji-Nya untuk membeli semua pengorbanan kita dengan kebaikan yang lebih baik berkali ganda.
“Sesungguhnya Allah itu telah membeli dari orang-orang yang beriman diri-diri mereka, dan harta-harta mereka dengan diberikan kepada mereka syurga…” Surah At-Taubah ayat 111.
Allah SWT, hendak mendidik manusia betapa, untuk mendapatkan kehidupan yang baik, perlukan pengorbanan.
Pengorbanan kita
Maka apakah yang kita telah usahakan? Apa yang telah kita sumbang? Bagaimanakah kita berurusan dengan perintah-perintah Allah SWT?
Adakah kita bersedia berkorban?
Ketahuilah tiada yang akan mampu menyaingi pengorbanan Nabi Ibrahim AS serta cucundanya Rasulullah SAW. Tetapi apakah yang telah kita usahakan? Apa yang telah kita korbankan?
Kadangkala, kita ini, masa lapang pun sukar untuk kita sumbangkan kepada Islam. Kita hanya berikan masa lapang kita untuk kerseronokan diri yang tidak membawa apa-apa makna. Duit-duit kita yang banyak, kita bazirkan menjadi najis berbanding kita berikan kepada yang memerlukan. Tenaga kita, kita biarkan mereput tanpa kita gunakan untuk Islam. Pemikiran kita, kepandaian kita, fikrah kita, kita bazirkan begitu sahaja tanpa menyumbangkannya untuk kebangkitan Islam.
Masalah ummah Islam hari ini, adalah kerana kurangnya manusia-manusia yang rela berkorban.
Kenapa?
Kerana masalah keimanan yang hilang dari diri mereka.
Mereka sukar untuk yakin bahawa Allah SWT akan membayar pengorbanan mereka, mereka sukar untuk percaya bahawa semua pengorbanan mereka ada harganya. Mereka rasa Allah itu jauh, janji-janji Allah itu jauh.
Ini menyebabkan mereka tidak rela berkorban.
Maka jadilah kes seperti Palestina. Dikelilingi saudara maranya yang kaya raya, kuat dari segi tentera, tetapi tidak mendapat pertolongan satu pun dari mereka. Kenapa? Kerana tiada negara yang sanggup berkorban untuk Palestin. Masing-masing ingin menyelamatkan poket masing-masing.
Penutup: Saya tak pernah rasa ini perayaan sia-sia
Saya tak pernah rasa, Allah SWT itu mengarahkan kita melakukan sesuatu yang sia-sia. Semuanya ada sebab. Tinggal kita nampak atau tidak.
Allah SWT berfirman:
“Apakah kamu mengira, Kami menciptakan kamu dengan sia-sia, dan kamu kepada Kami tidak akan dikembalikan?” Al-Mu’minuun ayat 115.
Hari Raya Aidil Adha, pada saya merupakan satu checkpoint supaya ummat mendapatkan semula kekuatan untuk berkorban. Sebab itu, sejarah Nabi Ibrahim diulang-ulang supaya kita nampak asas pengorbanan – iman kepada Allah SWT.
Khilafah telah jatuh pada 1924. Dari 1924 hingga 2009, sudah 85 tahun berlalu. Sudah 85 kali ummah Islam menyambut Aidil Adha. Tetapi tidak berjaya meraih erti pengorbanan. Kenapa?
Kerana kita anggap ini satu perayaan tradisi, rutin tahunan yang perlu kita lalui. Lalui, dan biarkan ia pergi, sampai ia kembali lagi pada tahun akan datang sekali lagi.
Aidi Adha bukan sesuatu yang sia-sia untuk saya. Tapi saya fikir, kita telah mensia-siakan Aidil Adha kita, jika kita tidak berjaya menyelami erti pengorbanan.
Selamanya, ummah ini akan terus rosak, hancur, andai kita tidak rela berkorban untuk membangunkannya.
dipetik daripada:http://ms.langitilahi.com/
0 comments:
Post a Comment
Nisa' Connecting Youth.. =)