Assalamua'laikum.
Semoga semuanya sihat walafiat hendaknya. Alhamdulillah, ALLAH masih beri kita peluang dan ruang meneruskan kehidupan. Segala puji dan puja hanya untukNYA, Tuhan Sekalian Alam.
Dikesempatan ini, ingin kami kongsikan sedikit bingkisan buat panduan kita bersama.. (^_~)
***
Kisah pemudan dan sikap pemarah
Disebuah kampung, ada seorang pemuda yang pemarah. Pantang ada yang tak kena dipandangannya, pasti amarah menguasai diri.
Pada suatu hari, bapa pemuda tersebut memanggil beliau. Bapanya memberikan seguni paku kepada pemuda tersebut. Pemuda terkejut dengan pemberian dari bapanya, lantas bertanya :
"Untuk apakah paku-paku yang banyak ini wahai bapaku?"
"Anakku, setiap kali kamu merasa marah kepada seseorang, kamu ketuklah paku ini di tembok belakang rumah kita.", jawab si bapa.
Maka, setiap kali pemuda tersebut merasa marah, beliau akan memaku tembok di belakang rumah dengan menggunakan paku yang diberikan oleh bapanya.
Pada hari pertama, berpuluh-puluh pucuk paku telah diketuk pada tembok tersebut. Namun, lama kelamaan, semakin sedikit paku yang diketuk. Dan akhirnya, tiada satupun paku yang diketuk di tembok tersebut, kerana pemuda tersebut telah bejaya mengawal amarahnya dan tiada seorang pun yang dapat menyebabkan beliau merasa marah.
Pemuda tersebut menemui bapanya, lalu berkata, "bapaku, sudah seminggu anakmu tidak mengetuk paku didinding. Saya sudah tidak merasa marah lagi."
Bapanya tersenyum, lantas menjawab, "Wahai anak, kalau begitu, kamu cabutlah kesemua paku yang ada pada tembok tersebut."
Pemuda terpinga-pinga, tapi menurut sahaja kata-kata bapanya. Pada hari pertama, hanya sedikit sahaja yang berjaya dicabut oleh pemuda tersebut. Hari kedua, ketiga dan seterusnya juga sama. Mencabut paku tersebut tidak semudah mengetuknya.
Seminggu kemudian, pemuda menemui bapanya. Dengan wajah hampa, beliau berkata, "bapaku, hanya sedikit paku yang berjaya dicabut semula. Susah untuk mencabutnya semula, tidak semudah mengetuknya dahulu."
Bapa pemuda tersebut memimpin tangan pemuda, menuju ke arah tembok di belakang rumah.
"Lihat anakku, apa yang ada di tembok tersebut?"
"Tiada apa pun disana, wahai bapaku. Hanya ada paku-paku dan kesan-kesan paku yang telah dicabut", jawab pemuda.
"Anakku, kamu ibaratkan tembok tersbut ialah hati orang yang ada disekelilingmu. Setiap paku yang kamu ketuk, adalah kata-kata dan perbuatan yang kamu telah keluarkan sewaktu kamu marah. Begitu mudah melakukannya, bukan? Semudah mengetuk paku di tembok.
Tapi, lihatlah kesannya. Tembok tersebut rosak. Bila dicabut, meninggalkan lubang. Kesan yang mendalam. Malah, ada juga yang tidak dapat dicabut. Begitulah juga kesannya terhadap hati mereka yang telah kamu marahi sewaktu kamu sedang dikuasai kemarahan. Kamu akan cakap dan lakukan apa saja untuk meluahkan kemarahan kamu. Tapi, tanpa kamu sedar, kamu sebenarnya sedang melukakan mereka. Menyakiti hati mereka.
Mungkin suatu hari nanti, kamu akan menyedari kesilapan kamu. Tapi, adakah semudah itu mereka akan memaafkan kamu? Setelah kata-kata yang kamu lemparkan menusuk hati mereka?
Jika ada yang memafkan kamu, baguslah. Tapi, walaupun kamu telah berjaya mencabut 'paku' dihati mereka, kesannya masih ada bukan? Tusukan kata-kata yang kamu lemparkan sewaktu marah, mungkin boleh dibuang. Tetapi, parutnya takkan hilang. Malah, lebih teruk, jika mereka tidak dapat memaafkan dirimu, sebagaimana susahnya kamu mencabut paku yang telah tertanam di tembok tersebut".
Pemuda tersebut terduduk mendengar kata-kata bapanya. Air mata keinsafan mengalir laju. Dia sedar, apa yang telah dikatakan oleh ayahnya, bukanlah omong kosong. Bukan sekadar menyuruhnya melakukan perbuatan yang sia-sia. Tapi segalanya penuh makna tersirat. Dia insaf. Sangat-sangat insaf.
Bapanya lantas memeluk pemuda tersebut, dan berkata, "anakku. Peluang untukmu masih terbuka luas. Ayuh, jangan buang masa. Dosa sesama manusia, hanya boleh terhapus setelah dimaafkan oleh manusia jua. Amarah adalah sikap syaitan laknatullah. Janganlah kamu biarkan dirimu dikuasainya. Semoga ALLAH membimbingmu, wahai anakku"
"Terima kasih. Terima kasih kerana memberi pengajaran ini kepadaku. Terima kasih kerana menyedarkan saya," kata pemuda kepada bapanya.
"Segalanya datang dari ALLAH, wahai anakku"..
****
Ikhtibar :
Belajarlah mengawal kemarahan. Cubalah sedaya upaya menjaga hati orang sekeliling terutama orang yang paling rapat dan paling mengasihi kita. Sedikit saja kata-kata yang tidak terjaga, mampu membuatkan hati terluka.
Jom jadi orang kuat kerana nabi saw ada bersabda: "Orang yang paling kuat yang sebenarnya adalah seseorang yang sedang berada dalam puncak kemarahan, wajahnya memerah dan kulitnya bergetar, tetapi ia mampu meredakan marahnya itu." (Riwayat Ahmad)
* NISA' - PENGHUBUNG GENERASI MUDA *
0 comments:
Post a Comment
Nisa' Connecting Youth.. =)